Selasa, September 14, 2010

BEST team ever!

Tajuk entry di atas telah banyak mengundang pelbagai kontroversi dari semua pihak. Tak kisahlah dari dalam mahupun luar kumpulan itu sendiri. Tambah lagi bila ada yang rajin menuang minyak dalam api yang tengah marak.

Apa pun, saya tetap berbangga punyai satu pasukan yang saling menyokong sesama sendiri, sentiasa berjerih perih bersama, dan yang paling penting TAK cakap belakang-belakang. Kalau tak puas hati just cakap je depan-depan...Tak gitu kawan-kawan?hehe...

Kumpulan ini tertubuh hasil daripada sesi temuduga yang kami buat sempena Festival Colours of The World (FESCO) yang bertempat di Universiti Teknologi Petronas (UTP) awal tahun 2010 ini.

Keputusan untuk mengadakan sesi temuduga ini dibuat berikutan rungutan pelbagai pihak mengenai ketulusan pemilihan penari yang akan mewakili USM dalam sebarang acara di dalam dan luar USM sendiri.
Jadi, beberapa fasa telah dijalankan oleh Koreografer USM, Valentino Stanley (VS) untuk mencari penari yang betul-betul mempunyai semangat 'assabiah' yang tinggi dalam sesebuah pasukan.

Hasilnya, muncullah beberapa muka baru yang turut diangkat sebagai pelapis pasukan ini pada masa akan datang. Malang sekali, tiada seorang pun dari kalangan arjuna di universiti APEX ini tampil untuk mengangkat bidang seni tari di institusi ini. begitupun, kami bersyukur dengan apa yang telah dicapai melalui konsep temuduga/ audition ini. barangkali, ada lagi yang takut-takut bilamana dihebahkan adanya 'audition' kerana rata-ratanya beranggapan hanya yang hebat bakal terpilih. Satu andaian skeptikal yang harus dibuang jauh-jauh!

Susulan daripada itu, wujudnya suara-suara dari belakang yang mengatakan kami pilih kasih dan tidak memilih penari lama untuk bersama dalam acara ini. Ada juga rungutan bahawa pemilihan dibuat berdasarkan emosi dan bukannya profesionaliti. Ternyata ia adalah satu tamparan hebat buat kami selaku panel penilai.

Jadi, setelah semua keputusan dibuat yang sememangnya amat berat ibarat ditelan mati emak diluah mati bapa, maka tertubuhlah satu pasukan tari untuk FESCO 2010.

Pemilihan dibuat atas kecenderungan memberikan komitmen yang tinggi terhadap kumpulan dan ke'demand'an yang rendah dalam apa-apa arahan...(titik di situ...kalu ade lagi soklan tanya direct ok)
Sepanjang sesi latihan berlangsung, semuanya NYATA memberikan komitmen 200% tak tak berbelah bagi. Tanggungjawab terhadap akademik tetap diutamakan! Penglibatan dalam bidang ini bukanlah penghalang untuk mencapai keputusan gemilang dalam arena akademik dan tidak perlu dijadikan satu alasan andai tewas di medan ilmu.

Sesi latihan turut disulam dengan tawa dan tangis. Bagi saya, ia adalah lumrah dalam bidang ini. Tiada juraian air mata maka lompanglah seni dan pincanglah budaya. "air mata jadi permata", dan ia terbukti telah mengeratkan sesama ahli pasukan yang terlibat. Tawa menjadi pengubat tatkala hati yang sedang lara. Umpama satu keluarga besar, kemanisan madu sama dikecap bersama.

Apapun, amanat dari yang lama tetap disemat menjadi pendorong untuk memacu kejayaan.

Situasi menarik yang ingin saya kongsikan di sini bersama pembaca semua adalah semangat satu pasukan untuk tidak melihat ahli lainnya bersusah sendirian amat saya sanjung! Buktinya, kami berjaya menghasilkan satu set kostum (pakaian tarian) kami sendiri hasil daripada percambahan dan percantuman idea semua ahli. Masing-masing komited dan sudi luangkan masa untuk datang menjahit dan melengkapkan mana-mana bahagian yang masih belum sempurna sehinggalah ke takat terakhir sebelum bertanding. Sehinggakan ada yang memuji kehebatan kostum kami yang bertanyakan kos untuk mendapatkan set seumpama ini. Tertawa pula pabila menjawa soalan yang diajukan kepada kami. Kadang kala terharu saya melihat kesungguhan yang ditunjukkan mereka. Sampaikan titisan darah dan keringat sebagai galang gantinya.

Bukan setakat itu sahaja, saya turut saksikan kehebatan dan bakat penari-penari USM mendandan rambut dan menghasilkan sentuhan ajaib ke wajah-wajah polos masing-masing. ALHAMDULILLAH...Tuhan mengurniakan bakat ini kepada kami.

Selain itu, buat julung-julung kalinya pasukan tari USM bergabung dengan Unit Sukan dan Rekreasi USM untuk mendapatkan teknik dan stamina yang kukuh apabila menjelang ke hari pertandingan kelak. Sekali lagi saya puji usaha setiap ahli yang hadir ke sesi latihan setiap petang di Stadium Olahraga USM untuk sesi latihan stamina. Malah turut diselit dengan sesi senamrobik dan larian rentas setip pagi hujung minggu yang bermula seawal 6.00 pagi lagi. Bayangkanlah tatkala rakan-rakan lain sedang lena dibuai mimpi indah di kamar empuk, mereka berkorban memerah keringat menghirup udara segar dini hari.

Tidak terhenti di situ, semangat ini dibawa hingga ke pagi hari pertandingan di UTP. Melihatkan rakan-rakan universiti lain terlopong bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan untuk membakar semangat riak dan ujub dalam diri namun, ia menjadi satu momentum untuk setiap daripada kami memacu momentum yang terbaik dan terulung. Tahniah! Tahniah dan Tahniah!

Jutaan ucapan TERIMA KASIH kepada jurulatih Unit Sukan USM, Mr Jega yang sudi memberikan tunjuk ajar kepada kami dan tips-tips berguna untuk dimanfaatkan.

BEST TEAM EVER adalah ungkapan daripada ahli-ahli ini sendiri terhadap diri masing-masing. Penyertaan sulung akhirnya membuahkan hasil walaupun ada yang beranggapan kami hanya merangkul anugerah yang 'biasa-biasa sajerrr'. Lawan kami bukan hanya IPTA malah seluruh IPT di Malaysia berhimpun untuk mempertandingkan karya tersendiri termasuklah universiti dari luar negara. Pembaca semua bolehlah rasai pengalaman menarik ini sendiri andai berpeluang pada tahun-tahun akan datang.
Bukan niat meninggi diri apatah lagi menyombong dengan sesiapa tapi percayalah kemanisan ini tidak hanya tergambar hanya dengan kata-kata mahupun frasa "BEST TEAM EVER" itu sendiri.
MOHON MAAF kepada yang tersinggung. Entry ini tak bermaksud nak melukakan hati sesiapa. Sekadar menulis berkongsi ilmu yang ada.
Hakikatnya, kemanisan semangat berkumpulan itu patut dijadikan sumber inspirasi oleh sesiapa sahaja dalam usaha meraih kejayaan dan kecemerlangan dalam apa-apa bidang di dunia ini.

Dilampirkan bersama beberapa keping gambar kenangan saya dalam pasukan USM yang telah mempersembahkan tarian etnik Sarawak bertajuk "Langi Julangan". Ikhlas saya nyatakan di sini, kenangan ini takkan saya lupakan hingga akhir hayat!



*lestarikah apa yang telah disuntik ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan