Ahad, September 19, 2010

ekspLorasi Pulau Mutiara

Assalamualaikum & Salam Sejahtera...
salam mesra, salam sembah, salam 1Malaysia!
(giler patriotik!)haha...

Sempena hari minggu yang indah permai ini teringat pula kenangan beberapa minggu lalu bersama beberapa rakan saya yang lain ketika di Pulau Pinang.

Sudah menjadi impian saya sejak saya pertama kali memasuki wilayah Pulau Mutiara ini pada penghujung tahun 2006 ketika menuntut di sebuah kolej di Kedah untuk menjelajah seluruh pulau yang kaya dengan peninggalan sejarah ini selepas dijajah dan ditakluk pelbagai pihak beberapa kali.

Akhirnya setelah hampir empat tahun saya di sana saya masih belum sempat bertandang ke lokasi-lokasi yang ingin saya injak pada asalnya. Mujurlah ada beberapa rakan lain sudi mengajak saya untuk bersama-sama menikmati keindahan pulau ini.

Jadi, ingin saya kongsikan sedikit pengalaman menarik yang berjaya saya peroleh sepanjang perjalanan saya dan rakan-rakan mengelilingi pulau ini dalam format yang lebih puitis (kerr??) dan sedikit berbeza daripada tulisan saya sebelum ini.

___________________***___________________

Awan berolak-olak dalam kawanan sehingga ada pancaran Sang Rawi singgah di bening mata lantas menyilaukan pandangan. Mujur ada sepasang kaca mata hitam yang dipinjam dari rakan tersimpan di saku beg galas. Lega! Mengerling ke arah jam analog di paparan skrin telefon bimbit sudah menjengah ke pukul 9.00 pagi. Bergegas ke Padang Kawat USM oleh kerana janji temu telah ditetapkan di sana.

Sementara menantikan Fudz yang banyak merencanakan pergerakan kami hari tersebut, Ina sudah mengipas ngipas tudung putih yang dipakainya. Mungkin rimas dengan sumber asli vitamin D yang dipancarkan mentari pagi ini. Radin hanya diam membisu.

Ini adalah pertemuan pertama aku dengan wanita yang kaya dengan ilmu pengetahuan tentang dunia Islam dan ukhrawi ini. Terbukti apabila beliau banyak melontarkan hujahnya ketika kami membuka bicara mengenai isu iluminati dan alam akhirat.

Sementara menantikan ketibaan Fudz yang pada telahanku sedikit kesiangan hari ini, segerombolan wirawan USM aku lihat berkejaran ke arah tengah Padang Kawat dengan muka ketakutan dek mungkin kerana kesiangan juga. Ternyata mereka menerima hukuman daripada ketua mereka yang sudah berdiri tercengang di tengah bahang sinar pagi. Aku hanya mampu mengukir senyuman untuk dihadiahkan kepada pasukan PALAPES USM yang tega menjalani latihan kendatipun di bulan puasa. Semoga mereka lebih cekal menghadapi cabaran sebagai perajurit yang akan berada si barisan hadapan benteng pertahanan negara sekiranya diancam musuh.

Fudz tiba menaiki motor Kriss birunya dengan muka gementar. Bimbang diserang kami agaknya. Kemudian, membawaku mengambil kereta yang dipinjam daripada rakan kami, Yap (atau nama sebenarnya Asyraf Mukhlis) di desasiswa yang tak jauh dari tempat kami menunggu tadi.
Setelah memeriksa kondisi kereta Perodua Kancil berwarna keemasan itu, tanpa berlengah kami memecut ke perkarangan tadi untuk menjemput Ina dan Radin. Maka bermulalah pengembaraan kami meneroka setiap ceruk dan ruang di Pulau Pinang...

___________________***___________________

Lokasi pertama kami tuju adalah ke kawasan Ayer Itam yang mana terdapatnya Kuil Buddha di puncak bukit sana yang amat terkenal dengan jualan barang murah dan sukar didapati di tempat lain di pulau ini. Tambah menarik jika mempunyai kepakaran tawar-menawar, harga barang-barang di sana boleh dikurangkan mengikut kehendak hati. Apa yang penting? Komunikasi!!!

Kuil yang dikenali dengan Kek LOk Si ini beroperasi sejak awal pagi lagi sehinggalah larut malam. Keindahan kerlipan lampu di malam hari ditambah dengan kunang-kuang yang senantiasa gembira bertebaran sana-sini merancakkan lagi pemandangan di puncak ini. Jika mempunyai kudrat dan tenaga, tangga yang dipijak tidak terasa tingginya.

Ketibaan kami disambut dengan tawaran harga murah dari kiri kanan lorong seperti yang telah diduga pada awal lagi. Setiba di puncak Kek Lok Si, kami meninjau beberapa sudut yang sesuai untuk dijalankan program kami awal tahun depan. Sebelum itu, terlupa untuk aku khabarkan bahawa pengembaraan kami ini bertujuan mencari lokasi yang strategik dan sesuai untuk sebuah program mega kumpulan kami. Umpama sambil menyelam minum air, tidaklah salah untuk menikmati dan menghayati keindahan Pulau Pinang ini disamping membuat sedikit 'homework' untuk projek kumpulan.

Selesai membayar parkir kereta yang kami letakkan di perkarangan yang bertentangan dengan jalan masuk utama Kek Lok Si, kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya iaitu ke Bukit Bendera. Terletak lebih kurang satu kilometer sahaja dari tempat tadi, perjalanan kami memakan masa lebih kurang 10 minit dek kerana jalan utama yang menghala ke pintu masuk Kek Lok Si tadi sesak dek gugusan pengunjung dan pelancong yang berjalan kaki menuju ke puncak yang kami jengah tadi.
(gambar: berlatarbelakangkan pagoda, menara tertinggi gi puncak Kek Lok Si)

Malang sungguh apabila tibanya di Bukit Bendera, kami disambut dengan palang besi yang menghalang kenderaan daripada memasuki Bukit Bendera. Agak kecewa! Namun, syukur kerana aku sendiri pernah tiba di sini sewaktu aku mula-mula mendaftar masuk ke USM pertengahan 2007 sempena satu program kebajikan yang dianjurkan oleh rakan senior dulu.

Meneruskan perjalanan ke Bandar Georgetown yang letaknya lebih kurang 20KM daripada Ayer Itam, kebuntuan kami dipecahkan dengan gelak tawa melihatkan gelagat pemandu jalan raya di pulau ini. Bermacam-macam kerenah. Pelbagai raut wajah dan mimik muka dapat dilihat. Ditambah dengan kesesakan lalu lintas sempena raptai Hari Kemerdekaan yang bakal disambut ini sedikit sebanyak menambahkan juraian peluh di dahi. Kadang kala terpacul beberapa perkataan yang tidak enak didengar daripada mulut aku ini. Hahaha! Dah jadi kebiasaan aku memandu sambil berleter memarahi pemandu jalanan yang lain. Alah bisa tegal biasa!

Kami tiba di perkarangan Muzium Kesenian Islam yang terletak bersebelahan dengan Pejabat World Heritage (UNESCO) yang berlatarkan bangunan berwarna biru sekitar jam 11.00 pagi. Ternyata keindahan seni bina kolonial British masih dipelihara dan dipulihara oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP). "Cantik juga bangunan di sini," terpacul kata-kata ini dari mulut Ina selaku Pengarah Projek program yang aku nyatakan sebentar tadi.

Hasrat hati ingin menjengah masuk ke dalam pejabat ini terpaksa dibekukan lantaran hari ini adalah cuti am dan memaksa kakitangan di dalamnya menutup premis.

(gambar; hiasan menarik di dalam Muzium Kesenian Islam Georgetown)

Kami gagahkan hayunan langkah ke Muzium Kesenian Islam untuk meninjau situasi di dalamnya. Bayaran hanya dikenakan RM1 untuk pelajar dan RM3 selainnya. Bangunan yang digunapakai semula ini adalah kesan peninggalan penjajah British suatu ketika dahulu. Mempunyai pelbagai maklumat menarik tentang kedatangan dan pengaruh Islam di Nusantara dan Pulau Pinang khususnya sedikit sebanyak telah membantu gerak kerja kami.

Pengembaraan tidak terhenti setakat ini sahaja malah diteruskan dengan berjalan kaki ke sekeliling kawasan yang berhampiran untuk meninjau lokasi lain yang dirasakan sesuai selain tempat-tempat yang kami sasarkan.

Peluh yang tercurah sukar diungkapkan dengan kata-kata. Selain membasahkan pakaian yang membalut tubuh, keringat yang terkerah turut sama mengeringkan bendalir dalam badan. Bulan puasa bukan penghalang! Masing-masing membisikkan kata semangat untuk kami teruskan langkah melewati semua lokasi yang disasarkan.


Roda terus berpusing meninjau seluruh ceruk di kota Georgetown. Mujurlah aku sempat menjengah ke beberapa tempat popular di sini sebelum ini. Hilanglah sedikit kempunan.

Dalam pada itu, cadangan Fudz untuk membawa kami ke Wat Chaiyamanglaram menambahkan keseronokan dalam perjalanan kami menuju ke Batu Ferringhi. Wat yang dibina untuk penganut agama Budha di Pulau Pinang ini sedikit sebanyak mengimbas perjalanan aku ke Negara Gajah Putih tahun lalu. Senibinanya saling tak tumpah dengan negara jiran Malaysia; Thailand.

Saban waktu berlalu mentari umpama sejengkal di kepala. Panas yang bukan kepalang! Mahu sahaja diteguk air yang dijual di birai jalan sepanjang ke Batu Feringhi. Angin sejuk yang menghembus wajah hasil ciptaan teknologi masih tidak mampu menghilangkan penat dan dahaga kami. Aku melihat raut muka yang keletihan terserlah daripada setiap daripada kami. Digagahkan sehingga tiba di Masjid Terapung Pulau Pinang untuk menunaikan kewajipan sebagai khalifah di bumi yang fana ini.

Sebening air wuduk menyejukkan epidermis, sesuci al-quran membersihkan jiwa yang meronta hasil godaan syaitan dan nafsu, semerdu alunan zikir mendendangkan hati yang resah menantikan waktu berbuka. Itulah nikmat dan keindahan ciptaan Ilahi. Tiada apa yang dapat tandingiNya. Alhamdulillah...

___________________***___________________

Sesudah itu, perjalanan masih diteruskan ke Batu Feringhi dan lokasi sasaran adalah ke Hard Rock Hotel Pulau Pinang yang ketika ini semakin hebat diperkatakan warga asing yang datang mencurahkan fulus ke bumi Malaysia.


Memang benar! Ada tarikan di tempat ini. Seolah-olah berkungjung ke 'negara orang putih' bermula daripada layanannya sehinggalah hidangan dan pengunjungnya. Terngiur aku melihat mereka-mereka bermandi-manda di kolam buatan unik yang terletak hanya beberapa langkah dari pesisir pantai. Namun, bukan itu tujuan kami!

(gambar: mungkin ini tujuan kami..hahahaha)

Jam sudah menunjukkan ke angka 5.00 petang...Sudah agak kelewatan. Kami singgah pula di kilang yang memproses batik berdekatan dengan Teluk Bahang. Bertemu sendiri dengan pemiliknya adalah satu penghargaan kepada kami. Melihat penghasilan batik dengan mata sendiri adalah satu pengiktirafan buat kami.

Sejurus itu, melewati Perkampungan Nelayan yang terletak berdekatan dengan pintu masuk utama ke Hutan Simpan Pulau Pinang menggamit ingatan aku ketika bertandang ke kampung rakan aku di daerah Kuala Terengganu suatu ketika dahulu. Mestinya sekarang ini sudah banyak yang berubah. Ibarat sekali air bah, sekali itulah pantai pun berubah.


Menggagahi pecutan motokar kami ke Hutan Rimba Pulau Pinang, deruan air terjun yang menghempas batuan di lantai bukit menyejukkan minda yang sedang kusut. Manakan tidak! Banyak lagi lokasi yang belum kami lewati sedangkan masa sudah hampir ke waktu berbuka.
Baru aku tahu sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik di pulau ini.

Laluan Balik Pulau yang bersimpang siur merancakkan perjalanan kami. Sememangnya aku amat menggemari situasi ini! Adalah satu cabaran kepada diri aku sendiri untuk mengharungi laluan yang tak ubah seperti ular kena palu ini. Dalam perjalanan kali ini kami sempat singgah di empangan yang menakung berjuta geleng air untuk disalurkan ke seluruh Pulau Mutiara ini.


Akhirnya, kami tiba di kawasan Balik Pulau dan melewati beberapa tempat yang telah dirancang dari awal perjalanan tadi. Meneroka penghasilan beras di pulau ini adalah sesuatu yang amat menarik selain menikmati panorama masyarakat kampung yang bekerjasama untuk memproses hasil Industri Kecil dan Sederhana yang nyata tidak disedari ramai pihak. Dalam pada kepesatan membangunnya Pulau Mutiara ini, intan yang bernilai sebenarnya masih tertanam di sebalik kemajuan pulau itu sendiri.

___________________***___________________

Waktu berbuka semakin hampir. Aku amat yakin yang perjalanan kami ini takkan tiba ke penghujung tepat pada masa yang dijangkakan. Jadi, keputusan untuk membeli juadah berbuka sebagai alas perut adalah keputusan yang rasional. Kami singgah di tengah perjalanan sekitar Bayan Baru.


Sambil menikmati keindahan matahari terbenam di ufuk barat Pulau Pinang, perut yang dari tadi berkeroncong mendendangkan pelbagai irama ini di hidangkan dengan tegukan air yang dibeli di bazar sekitar Balik Pulau tadi. MasyaAllah! Betapa indahnya kurniaan Yang Maha Esa. Betapa sempurnanya segala yang dijadikanNya... Menginsafi kebesaran yang Maha Kuasa tatkala menyaksikan matahari membenamkan dirinya sesungguhnya adalah di luar jangkaan. Sebelum ini aku tidak pernah terduga untuk menikmati juadah berbuka dibawah sinar rembulan yang baru segan silu keluar menghiasi dada langit. Alhamdulillah...

Selesai menunaikan kewajipan, kami menghadiahkan diri masing-masing dengan santapan lazat yang dihidang di Hammer Bay. Walau ia bukanlah hidangan bernilai puluhan ringgit mahupun ratusan atau ribuan ringgit, namun ia tetap rezeki yang dikurniakan olehNya untuk sama dirasa dan dikecap.


Kami menyimpulkan perjalanan yang penuh dengan memori ini sebagai satu kejayaan besar buat kami dan diri sendiri. Kami berjaya melewati setiap lokasi yang telah kami rancangkan dari awal. Syukur ke hadrat Ilahi. Bukan mudah untuk berjuang di kala diri ini serba kekurangan. Terkadang diri membayangkan bagaimana suatu ketika dahulu, para syahid berperang di medan gempur. Demi menegakkan syiar yang disyariatkan oleh Sang Pencipta, onak dan duri ditolak ketepi.
___________________***___________________

Maka begitulah perjalanan saya bersama tiga rakan lainnya menjelajah sekitar Pulau Mutiara beberapa minggu lalu. Satu pengalaman yang sangat istimewa dan takkan saya lupakan sampai bila-bila. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada mereka bertiga kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam ekspedisi ini. Banyak yang dapat saya pelajari. Juga, jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sudi bekerjasama menjayakan eksplorasi kami ini. Syukur kerana tiada sebarang kecelakaan berlaku.

Semoga ada lagi kesempatan lain untuk saya berkunjung dan mengeksplorasi keindahan yang ada di tempat lain pula.





*orang kata kalau tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya...tapi sekarang ni dengan teknologi tak perlu ruyung bagai dah...

1 ulasan:

  1. wahh...mletop la niczz...!best2 disulami dgn bhsa yg puitis..(puitis la knon kn!)...trase cm nk ulang blik kn knangn ni...nnt2 kte g lg nk??hahaha~~!

    BalasPadam