Sempena sambutan jubli perak Anugerah Juara Lagu 2010 tahun depan, 10 daripada 14 buah lagu yang layak ke pentas akhir didominasi oleh barisan artis lelaki.
Untuk membuat pertimbangan awal mengenai siapa juara dan siapa kecundang adalah satu tindakan yang pesimis dan berat sebelah! Maka, adalah baik jika kita tidak menyandarkan mana-mana artis untuk merangkul gelaran 'Lagu Terbaik' atau 'Juara Lagu' sepertimana bekas juara AJL tahun lalu; Aizat menerusi lagu 'Pergi' ciptaan Pete Teo. Bimbang pula lain yang diharap lain pula yang dapat!
Namun, khabar angin yang bertiup baru-baru ini menyatakan siapa juara sudah sedia direncanakan sejak bermulanya peringkat pencalonan sesebuah lagu itu malah, setiap pergerakan rancangan ini sekadar untuk menarik penonton dan penyokong fanatik untuk memberikan satu 'drama' bagi menimbulkan elemen sensasi.
Benar atau salah, hanya penganjur sahaja yang tahu.
Jika diimbau kembali perjalanan Muzik-Muzik sejak zaman 80-an, pemenang pertamanya (pada 1986) disandang oleh individual wanita iaitu Francesca Peter menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran.
Antara artis wanita yang pernah mendapat jolokan 'Juara Lagu' adalah:
Zaiton Sameon (Menaruh Harapan, 1987)
Ramlah Ram (Kau Kunci Cintaku dalam Hatimu, 1988)
Aishah (Janji Manismu, 1990 dan Cinta Beralih Arah, 1995)
Fauziah Latif (Teratai Layu Di Tasik Madu, 1993)
Siti Nurhaliza (Jerat Percintaan, 1996, Cindai, 1998, Balqis, 2000)
Misha Omar (Bunga Bunga Cinta, 2003)
Jaclyn Victor (Gemilang, 2005)
Adibah Noor (Terlalu Istimewa, 2006)
Persoalan yang ditimbulkan sekarang, mampukah gelaran lagu terbaik AJL kali ni dirangkul oleh insan bergelar wanita kalau dilihat pada finalis-finalis yang diumumkan tadi? Hanya empat lagu yang dinyanyikan wanita berjaya menempah tiket ke final pada 9 Januari tahun depan dan mereka adalah:
1) Adira (Ku Ada Kamu)
2) Cinta Sempurna (Yuna)
3) Jahat (Stacy)
4) Tolong Ingatkan Aku (Ana Rafali)
Manakala, bakinya dikuasai lelaki dengan lagu-lagu berikut:
1) Hanyut (Faizal Tahir)
2) Kebahagiaan Dalam Perpisahan (Shahir)
3) Noktah Cinta (Hafiz)
4) Drama King (Meet Uncle Hussain feat Black)
5) Pelita (A.P.I)
6) Berlari (Tomok)
7) Sofea Jane (Black)
8) Mencari Konklusi (Hujan)
9) Selamat Malam (Faizal Tahir)
10) Ekstravaganza (Bunkface)
Daripada jumlah ini, ada pula suara-suara yang berbicara terdapat lagu yang sepatutnya menempah tiket ke final ditolak ketepi kendatipun lagu-lagu itu berkualiti. Maka, timbul pulalah isu kredibiliti juri yang dipilih untuk separuh akhir kali ini berkenaan kenapa 'dia' dilantik dan 'dia' pula tidak dilantik. Menjawab isu ini, mungkin ada rasionalnya pemilihan yang dibuat pihak penganjur. Lumrah pertandingan, ada menang ada kalah dan isu rumah siap pahat berbunyi adalah perkara biasa.
Namun, tahniah diucapkan kepada lagu-lagu yang tersenarai untuk ke peringkat akhir AJL 2010. Lakukan yang terbaik demi memartabatkan industri muzik tanah air.
Kepada yang tidak terpilih, bukanlah bermakna anda tidak layak. Sememangnya anda semua mengagumkan! Secara peribadi, saya memuji kesungguhan Alyah menerusi lagu 'Realiti Dewi' dan persembahan itu amat membekas di hati peminat anda.
Begitu juga lagu dendangan Adibah Noor; Sejujur Hatimu yang dikira antara lagu berkualiti yang pernah dihasilkan. Selain bait-bait lirik yang bermakna, ritma lagu yang meruntun hati adalah gelombang besar yang telah anda hadiahkan kepada peminat.
Tidak lupa juga kepada penyandang trofi 'JuaraLagu' tahun lalu; Aizat, tidak terpilih mungkin ada hikmah tersendiri.
Beberapa lagu lain yang turut menerima nasib serupa dengan lagu yang disenaraikan di atas seperti Nadiku (Sabhi Saddi), Cinta (Mohd), Inilah Cinta (Akim), Oh Juwita (Nubhan), Cinta Kosmik (Fabulous Cat), Bersamamu (Joe Flizzow) dan dua lagu nyanyian kumpulan nasyid Mirwana, jangan mengalah dan usaha lagi!
*kali ni ulasan saya benar-benar skema! jangan marah semua...mood nak menulis mai lagu ni, nak wat camner. =P
Tiada ulasan:
Catat Ulasan