Pagi Sabtu yang panas terik ni mood menulis aku menggeletis lain macam pulak. Jadi, selain bingkisan hari guru yang aku akan bikin lepas ni, terlebih dahulu aku nak bingkiskan sedikit coretan hati buat Adikarma, kumpulan kebudayaan yang tersayang.
Onyomat, get set, go!:
"Tiga tahun tempoh sangat pendek untuk saya mendabik dada. Masih jauh perjalanan mengejar mimpi dan cita-cita yang diangan apabila hati mula berkata:"Ya, aku kena tubuhkan kumpulan ini."
Tapi, Alhamdulillah... Mereka masih wujud dan relevan usai saya melangkahkan kaki meninggalkan mereka bersendirian bersama memori-memori lampau 'alumni' sebelum ni.
Saya masih ingat ketika awal penubuhan kumpulan Adikarma tiga tahun lalu. Pada ketika itu timbul krisis yang selama ini kita cuba elak. Jujurnya, kumpulan Adikarma sebelum ini dikenali dengan Rentak Madini iaitu sebuah kumpulan yang asalnya bernaung di bawah Desasiswa Tekun yang kemudiannya diangkat untuk dinaungi Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM (BHEPP USM) sekitar tahun 2008.
Bagaimanapun, atas masalah yang timbul kami yang masih tersisa di USM ketika itu dan saya sebagai pengerusi kumpulan Rentak Madini dimohon agar jangan menggunakan jenama yang sama lagi.
Sepanjang dua minggu sekitar awal bulan Mei kami berhempas pulas mencari solusi yang akhirnya difikirkan untuk menjenamakan semula Rentak Madini menjadi sebuah kumpulan baharu. Asalnya nama Adikara dipilih namun nama itu didakwa pernah digunapakai sebelum ini oleh sebuah kumpulan kesenian yang berpangkalan di Selangor. Bimbang dituduh plagiat dan kebetulan ketika itu kami sedang saat-saat akhir merancang untuk mengadakan sebuah program kolaborasi budaya di Thailand tampil dengan satu kertas cadangan baharu. Akhirnya nama Adikarma dipilih!
Apa maknanya? Adi bermaksud terulung atau dalam erti kata lain 'hanya satu' manakala Karma seperti diketahui umum kalau kata orang putih 'what goes around comes around'. Ironi sebuah reinkarnasi dan revolusi baharu sebuah perjuangan memartabatkan seni, saya menggabungkan dua perkataan itu menjadi jenama baharu sebuah pertubuhan di USM.
Jika diizinkan untuk saya menyebut beberapa nama yang berada di samping saya pada masa itu, saya ucapkan jutaan tahniah dan terima kasih tidak terhingga kepada sahabat saya Valentino Stanley, Randy Daraman, Kamarudin Kadam, Shakir Salmi, Alia Farhana, Siti Nurfatimah, Normirah Mastar, Siti Fadhilatun Aishah dan mungkin beberapa nama lain yang saya terlepas pandang. Mohon maaf.
Maka, tanggal 15 Mei 2010 secara rasminya Adikarma menjadi sebuah badan kesenian bernaung di bawah BHEPP USM dan tarikh keramat itu merupakan titik sejarah sangat bermakna bagi kami. Saya masih ingat ketika itu hanya air mata mengiringi perjuangan, air mata menghiasi kemenangan dan air mata mewakili kesyukuran. Alhamdulillah. Saya diberikan peluang oleh yang Maha Kuasa untuk menyumbang sedikit bakti buat anak bangsa kita selepas ini.
Bulan Ogos tahun itu juga saya bergraduasi dan meninggalkan tampuk kepimpinan kepada Valentino Stanley selama sepenggal (setahun) dan diteruskan oleh Amalina Jamil kemudiannya serta Najjua Mohammad dan kini digalas oleh Ainon Munirah.
Bertukar2 tangan itu memberikan rencah dan variasi kepada Adikarma. Uniknya pada awal penubuhan saya selaku pengerusi mengendalikan kumpulan itu dengan cara sebagai seorang pemimpin dari kelompok Unit Tari, Valentino juga sama, Amalina dari unit lakon, Najjua dari Pengurusan Acara begitu juga Ainon. Bayangkan betapa muafakatnya Adikarma!
Adikarma 2010 - kini |
Adikarma pada mulanya menggunakan moto "Seni untuk Budaya" barangkali telah beberapa kali bertukar-tukar mengikut aliran dan ideologi pemimpin setiap penggal. Saya benarkan. Logo Adikarma pula menggunakan bentuk asas pohon beringin yang dihiasi tiga pucuk berpintal setiap belah kiri dan kanan. Setiap pucuk mewakili tiga bahagian utama Adikarma. Jika diterbalikkan secara vertikal, logo itu akan menjadi seolah-olah bentuk hati menerangkan kekuatan dan jalinan dari dalam hati yang terbina sesama ahli, InsyaAllah...
Jika ditanya sejauh manakah erti atau makna Adikarma kepada saya, jawab saya kumpulan ini adalah segalanya bagi saya. Jika tidak usai bergraduasi saya sudah tinggalkan terus Adikarma tanpa ada sebarang hubungan. Tapi Alhamdulillah sampai hari ini jiwa saya tetap pada Adikarma. Masih memantau, menjaga dan menyayangi dari kejauhan. Kadang kala jika diberikan kesempatan waktu dan ruang saya akan turun padang bertemu ahli baharu. Ya, mereka jauh lebih berkredibiliti daripada saya dan saya bangga dengan mereka!
Terima kasih kerana menjaga Adikarma seperti menjaga diri kalian jua. Saya terharu dengan sokongan, pengorbanan dan semangat yang kalian serapkan. Mohon agar terus kekal!
berikut merupakan logo awal kumpulan Adikara sebelum bertukar ke Adikarma |
Besar harapan saya untuk terus melihat kumpulan Adikarma mekar berkembang. Abaikan kumpulan lain yang mungkin sudah lama tertubuh dan melakar kejayaan, paling utama mujahadat kita sebagai sekumpulan insan yang memperjuangkan seni dan budaya untuk diteruskan generasi akan datang. Kita punya legasi sendiri, tidak perlu bertanding dengan sesiapa. Teruskan usaha anda dan saya harap Adikarma akan kekal relevan selama-lamanya. Mungkin selepas ini kita perlu tubuhkan fan page Alumni Adikarma pula kan.
Saya juga berharap agar lulusan Adikarma dari tahun 2010 dapat menghadirkan diri pada Makan Malam Pesona Bintang Adikarma tahun ini. Jalan ini satu-satunya peluang untuk kita saling berkenalan dan bertukar pandangan serta merapatkan ukhuwah. Maafkan andai tersalah silap, terlanjur kata, terkhilaf perbuatan.
Selamat ulang tahun ketiga Adikarma. Tahniah sekali lagi Adikarma!"
Sekian, terima kasih...
Khairul Amri Hassan.
Nota kuku kaki kurap: tema diner tahun ini White Galore ya kawan2.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan